Jenis bahasa sintesis Bahasa_sintesis

Bahasa lekatan

Bahasa lekatan, atau bahasa aglutinatif, mempunyai kadar lekatan yang tinggi dalam ayat dan perkataan, dan setiap pembentukan kata mempunyai morfem khas yang biasanya membawa satu maksud tersendiri.[4] Morfem-morfem tersebut biasanya kelihatan sama dalam semua perkataan, membuatkannya mudah untuk memisahkan morfem-morfem perkataan.[1] Morfem boleh jadi terikat (iaitu ia mesti digabungkan dengan perkataan lain untuk ada erti, imbuhan) atau bebas (boleh digunakan secara tunggal dan bererti).

  • Bahasa Melayu ialah contoh sebuah bahasa lekatan di mana ia menambah imbuhan kepada akar kata untuk menerbitkan perkataan baharu. Contoh:
    • Tanggungjawab: sesuatu yang mesti dilakukan
    • Bertanggungjawab: mempunyai tanggungjawab ke atas sesuatu
    • Mempertanggungjawabkan: membebankan dengan suatu tanggungjawab

Bahasa fleksi

Bahasa fleksi hampir serupa dengan bahasa lekatan dalam segi penggabungan penambahan morfem. Akan tetapi, morfem dalam bahasa fleksi biasanya mempunyai maksud-maksud berlainan, dan juga bercantum dengan perkataan lain sehingga susah untuk memisahkan morfem tunggal daripada satu sama lain.[1][5]

Polisintesis

Bahasa-bahasa polisintesis ialah jenis bahasa yang banyak menggunakan proses sintesis dengan menggabungkan beberapa kata dasar serta morfem untuk hasilkan satu perkataan majmuk. Bahasa-bahasa ini biasanya menukarkan kata nama kepada kata kerja.[1] Berbagai bahasa Alaska Asli dan Orang Asli Amerika jatuh dalam kategori ini.

  • Mohawk: Washakotya'tawitsherahetkvhta'se bermaksud "Dia merosakkan gaun dia" (harfiahnya, 'Dia (lelaki) buat benda-yang-dipakai pada badan buruk untuk dia (perempuan)'). Kata kerja tunggal polisintetik ini dapat disampaikan dalam satu perkataan berbanding bahasa-bahasa analisis seperti Inggeris yang memerlukan beberapa buah perkataan.

Oligosintesis

Bahasa-bahasa oligosintesis ialah konsep teoretik yang dicipta oleh Benjamin Whorf dan tiada satu pun bahasa semula jadi yang menggunakannya. Bahasa-bahasa seperti ini mungkin menggunakan proses sintesis, tetapi hanya menggunakan sejumlah kecil sahaja morfem (mungkin hanya seratus lebih). Beliau mengemukakan dakwaan bahawa Nahuatl dahulunya oligosintetik, tetapi kebanyakan ahli bahasa menolak dakwaannya.[petikan diperlukan]